Friday, December 5, 2014

Balasan Hukuman Tanpa Dalil Berkenaan Rambut Wanita.


Rambut wanita adalah salah satu aurat yang wajib ditutup. Membukanya merupakan perbuatan maksiat yang mendatangkan dosa kepada sipelakunya.

Ini berdasarkan Firman Allah SWT:



وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ وَلۡيَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّۖ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوۡ ءَابَآئِهِنَّ أَوۡ ءَابَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآئِهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ إِخۡوَٰنِهِنَّ أَوۡ بَنِيٓ إِخۡوَٰنِهِنَّ أَوۡ بَنِيٓ أَخَوَٰتِهِنَّ أَوۡ نِسَآئِهِنَّ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَٰنُهُنَّ أَوِ ٱلتَّٰبِعِينَ غَيۡرِ أُوْلِي ٱلۡإِرۡبَةِ مِنَ ٱلرِّجَالِ أَوِ ٱلطِّفۡلِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يَظۡهَرُواْ عَلَىٰ عَوۡرَٰتِ ٱلنِّسَآءِۖ وَلَا يَضۡرِبۡنَ بِأَرۡجُلِهِنَّ لِيُعۡلَمَ مَا يُخۡفِينَ مِن زِينَتِهِنَّۚ وَتُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ


"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (surah An-Nur ayat 31)



Mengaitkan dosa/larangan dengan hukuman tertentu perlu lah dirujuk nas sama ada dari al-Quran dan juga hadis kerana setiap amalan yang diberikan ganjaran sama ada pahala atau dosa mesti merujuk kepada dalil yang sahih.

Oleh itu dalam berdakwah kepada orang lain dengan mencipta fadhilat-fadhilat atau hukuman-hukuman tertentu adalah suatu yang dilarang dalam agama. Apatah lagi yang disandarkan kepada Nabi SAW.

Komentar daripada laman fatwa islamwet.net berkaitan dengan rambut wanita: "Adapun keadaan seseorang yang mendapat dosa bagi setiap helai rambut itu kami tidak menjumpai siapa yang berkata sedemikian." (fatwa no: 133189)

Berkaitan dengan dakwaan seseorang perempuan yang masuk neraka akan menarik masuk bersama-samanya beberapa orang lelaki tidaklah dijumpai asal daripada perkataan ini.  Bagaimana pun Allah SWT berfirman:

وَلاَ تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلاَّ عَلَيْهَا وَلاَ تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى [الأنعام:164

Maksudnya: " Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja);" (Surah Al-An'am ayat 164)

Dan sesungguhnya Ibn al-Jauzi rh pernah berkata: "Sekiranya kamu melihat suatu hadis yang bersalahan dengan logik akal, berlawanan dengan nas dan bercanggah dengan usul maka ketahui yang sedemikian itu adalah palsu".

Oleh itu, 'hadis' yang didakwa tadi adalah bercanggah dengan firman Allah SWT dan yang seumpamanya dalam nas yang qat'ie. Walaubagaimana pun tidak diragukan berkenaan kewajipan memberi tarbiah anak-anak dan keluarganya, mengajar halal dan haram serta melarang daripada melakukan maksiat terhadap Allah SWT. Ini kerana Allah SWT telah memerintahkan supaya orang-orang mukmin menjaga diri mereka dan ahli keluarga mereka daripada api neraka seperti mana mereka juga diperintahkan untuk mendirikan solat dan melaksanakan perintah ketaatan.

Firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ
Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; " (Surah Al-Tahrim ayat 6)
وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا 
Maksudnya "Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya." (Surah Taha ayat 132)

Walau pun begitu, perintah ini tidak hanya dikhususkan kepada bapa mahu pun ibu, suami mahu pun isteri, anak lelaki mahu pun anak perempuan, bahkan kepada semua kaum mukminin.

Firman Allah SWT lagi:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah At-Taubah ayat 71)


Wallahu a'lam

Abu Imtiaz
04 Disember 2014
Keningau Sabah.

0 comments:

Post a Comment