Thursday, November 29, 2012

Kayu Kokka dan Kepercayaan Masyarakat Malaysia


Masyarakat di Malaysia sememangnya amat kaya dengan pelbagai jenis kepercayaan. Selain daripada kepercayaan keagamaan atau pegangan hidup seseorang itu terdapat juga kepercayaan lain yang mewakili sesuatu kaum yang tidak dikenalpasti sumbernya. Seperti kaum Cina yang percaya kepada feng sui, kaum India pula terdapat beberapa pantang larang sama seperti kaum Melayu tetapi kaum Melayu pula mempunyai beberapa petua atau pesan orang-orang lama. Mungkin di sini kita tidak akan membincangkan secara terperinci mengenai kepercayaan-kepercayaan tersebut tetapi cukup untuk kita bersetuju bahawa banyak kepercayaan-kepercayaan tersebut yang belum lagi dikenalpasti sumber asasnya.

Suatu ketika dahulu asal sahaja orang balik dari Makkah maka pasti akan ada cerita atau buah tangan kayu kokka. Pada ketika itu ia dipercayai boleh membawa tuah atau pun khasiat tertentu kepada si pemakai. Saya pernah mendengar satu cerita daripada ayah saya yang mana sewaktu beliau berada di bilik penginapan ketika menunaikan haji, ada rakan sebilik beliau yang memakai cincin kokka ini. Pada keesokkan bila hendak dijadikan cerita, rakan sebilik ayah saya memberitahu bahawa ia kehairanan kenapa cincin kokkanya berada di jari tangan kanan sedangkan semalam ia dipakai di jari tangan kiri. Maka mereka menganggap ini suatu kejadian yang pelik dan dikira menakjubkan mungkin hendak mengatakan bahawa ia mempunyai sejenis kuasa tertentu agak melampau jadi cukup mungkin digambarkan bahawa boleh terjadi sesuatu kejadian yang pelik apabila memakai cincin kokka tersebut.


Saya tidaklah mahu menyatakan bahawa perkara tersebut benar atau salah, kerana sudah ramai sebenarnya para ilmuwan Islam, para ustaz dan juga ulama yang membangkitkan isu ini. Di atas hanya cerita sampingan yang boleh sahaja sesiapa percaya atau menolaknya. Tetapi harus diingatkan di sini, untuk mempercayai sesuatu perkara maka mestilah ia mempunyai asas yang kukuh untuk dapat diterima oleh akal fikiran.

Sebagai contoh ramalan cuaca mengatakan esok hari akan hujan. Maka adakah boleh dipercayai atau pun tidak? Jabatan Meteorologi melihat pada radar satelit kedudukan awan pada hari esok tertumpu pada satu-satu tempat yang berkemungkinan besar akan menghasilkan hujan. Berapa peratus yang kita boleh letakkan pada kemungkinan ini berdasarkan daripada ramalan tersebut? Apakah asasnya? Saya pasti anda boleh menjawabnya kerana berdasarkan daripada kajian tertentu, percubaan yang dihasilkan dan ketepatan cuba jaya yang pernah dilaksanakan pasti esok orang akan bawa payung keluar daripada rumah.

Percaya Kayu Kokka Boleh Mendatangkan Kebaikan

Bila disebut sahaja kayu kokka sesetengah orang akan menceritakan tentang keajaibannya. Sehingga terdapat sebuah buku yang dijual menceritakan tentang khasiat kayu ini. Pelbagai macam cara penggunaannya. Rupa bentuknya juga sudah divariasikan. Ada yang jadi tasbih atau cincin. Maka suatu ketika dahulu orang tercari-cari pelajar yang baru pulang dari timur tengah membawa kayu ini untuk dibeli manakala yang baru lepas menunaikan haji juga tidak kurang hebatnya juga membawa ole-ole kayu dari tanah suci. Ini gara-gara kepercayaan tertentu yang dihasilkan daripada kayu kokka.


Ada pihak yang mengatakan bahawa percaya kayu kokka boleh mendatangkan khasiat itu tidak salah kerana ia sama sahaja kita mempercayai kayu tongkat ali yang boleh mendatangkan khasiat. Maka ramai orang minum air yang diekstrak daripada tongkat ali. Tidak ada orang pun yang cuba untuk meminta dalil tentang tongkat ali. Maka demikian juga kayu kokka.

Perlu kita buat sedikit kajian, bahawa tongkat ali atau nama botaninya Eurycoma longifolia daripada famili Simaraubaceae (wikipedia). Mengikut kajian Prof Arif Adimoleja dari Universiti Surabaya, Indonesia, spesies tongkat ali dari Semenanjung Malaysia mengandungi lebih banyak ramuan kesihatan, terutama sekali ramuan yang membantu tenaga batin lelaki jika dibandingkan dengan spesies yang ada di Indonesia atau negara Asia lain. Kajian Pusat Perubatan di Kuala Lumpur mendapati ada peningkatan hormon testosteron dan hormon DHEA sekali gus dengan penurunan Ikatan Protein Globulin (dengan molekul testosteron) dan peningkatan hormon testosteron yang bebas (testosteron bebas ikatan yang boleh digunakan badan) dengan pengambilan 200mg ekstrak berkenaan. Mengulas lanjut, katanya kajian dilakukan di Fakulti Perubatan Bahagian Sains Sukan dengan sekumpulan atlit yang mengambil 200mg ekstrak yang sama juga menunjukkan yang atlit dapat membina kekuatan tenaga otot dan penurunan lemak badan yang mana kedua duanya ada kaitkan dengan kesan androgen.

Demikianlah kajian tertentu yang dibuat atas khasiat tongkat ali. Maka apakah asasnya yang kita boleh percaya bahawa tongkat ali boleh mendatangkan khasiat? Betul!! ini tidak perlu dalil tertentu sama ada daripada Quran atau pun hadis kerana TIDAK ADA siapa yang menyebut kayu tongkat ali adalah sama seperti kayu yang dibuat tongkat oleh Saidina Ali bin Abi Talib.

Malangnya dengan kepercayaan kayu kokka. Ada sesetengah pihak yang mendakwa ia adalah daripada kayu bahtera nabi Nuh as. dan ada yang mengatakan ia sama seperti kayu yang digunakan menjadi tongkat nabi Musa as. Maka di sinilah kita memerlukan asas dakwaan tersebut. Apa dalilnya, mana hadisnya.

kayu kokka penyembuh? mari lihat kajian. Kepalsuan kayu kokka dibongkar seorang Ahli Etnologi, Dr Abdul Manan Embong, yang melakukan kajian terperinci untuk tempoh setahun bersama beberapa pakar tempatan dan antarabangsa. Mereka ialah Pakar Geomologi dan Mineral Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Hisham Hashim; Pakar Botani dari Mesir, Profesor Dr Mohammad Shakran Shuhatah; Profesor Ali Akbar Zurillah dari Bahagian Kajian Penyelidikan Geologi Turki dan penceramah bebas serta penulis, Ahmad Shukri Ghazali Siraj. Kajian menyeluruh di negara yang dikatakan mempunyai pokok kayu kokka seperti Mesir, Jordan, Turki dan Iran mendapati tidak pernah wujud nama kokka dan apa yang didakwa sebagai kayu kokka sebenarnya diperoleh daripada spesies pokok Palma.

Menurut Abdul Manan, kayu kokka dikesan dihasilkan daripada spesies pokok palma ‘Attalea Funifera’.

Katanya, buah dan tempurung daripada pokok itu sememangnya digunakan untuk membuat tasbih, gelang, cincin dan barang permainan semata-mata untuk perniagaan.

Maka mana kajian tentang khasiatnya? sebahagian orang sanggup habis beratus ringgit membeli kayu kokka semata-mata khasiat yang dikatakan itu. Apa asasnya untuk kita percaya?

Setakat ini belum ada.

Hanya Untuk Perhiasan   

Itu tidak mengapa. Kerana tidak mempunyai kepercayaan apa-apa. Ayat al-Quran yang digantung di dinding pun sekiranya dipercayai boleh mendatangkan tuah kepada pemiliknya juga boleh terpesong akidah.

Cukuplah kepercayaan kita terhadap agama Islam yang kita pegang. Kepercayaan-kepercayaan lain atau petua-petua dan pantang larang kenalah berlandaskan kepada asas yang boleh diyakini.
Quran, Hadis dan Tajribah (hasil kajian tertentu).

Boleh tengok sinopsis buku kayu kokka di sini
http://www.darulnuman.com/index.php?option=com_content&view=article&id=163&Itemid=137

Abu Imtiaz 
29112012 

Di bawah ini dari laman web zaharuddin.net berkenaan kayu kokka.


http://ms.wikipedia.org/wiki/Tongkat_ali
http://www.eserikasih.com/tongkat-ali-pertingkat-tenaga
http://akramin84.wordpress.com/2008/04/07/kepada-pengguna-kayu-kokka-sekalian/

3 comments:

  1. Salam kenal

    http://kayukoka.wordpress.com

    ReplyDelete
  2. Syirik. . Org yg pemalas utk berusaha mmg mudah percaya. Tahajjud dan doa terus pd Allah

    ReplyDelete
  3. Bila jadi driver grab pernah juga dapat custemor dari sami hindu yang baru lepas sembahyang, saya dalm
    kereta punyai tasbih kayu goka asli dari mesir, ketika salah sorang sami mengunakan tasbih besarnya memuja setan dan memangil, saya dengar dia berkata kepada kawannya sebelah tidak datang bermakna kayu kokka pelindung dari setan lanatullah.

    ReplyDelete