Tuesday, June 21, 2011

Persoalan: Hukum Wanita Keluar Solat Berjamaah Di Masjid.

Dalam permasalahan hukum terpencil seperti ini sering kali diperbahaskan apabila terdapat beberapa pihak yang kurang berpuas hati mengapa wanita yang solat berjamaah di masjid itu sering diperdebatkan, tidak kira dalam sesebuah tazkirah ataupun dalam sesi pembelajaran yang menuntut penjelasan lebih lanjut daripada sang pendengar. InsyaAllah kita lihat penjelasan berikut dan perhalusi beberapa pendapat ulama dan mazhab berkaitan dengan hal ini.

Sebelum itu harus diketahui bahawasanya hukum solat berjamaah bagi solat-solat fardhu (selain solat jumaat) di sesebuah tempat yang tertentu dan jelas kelihatan jamaahnya kepada penglihatan awam contohnya masjid hukumnya adalah fardhu kifayah bagi orang lelaki yang merdeka yang cukup syarat. Ini adalah menurut pandangan mazhab Syafie dalam pandanganya yang paling kuat(1).



Dari pandangan mazhab Hanafi dan Maliki pula hukumnya pada solat² fardhu adalah sunat muakkad (1).

Bagaimanapun Hanbali berpendapat bahawa wajib hukumnya (2).

Ulama telah berselisih pendapat dalam menghuraikan beberapa hadis nabi seperti yang berikut.
"صلاة الجماعة تفضل صلاة الفذ بخمس وعشرين درجة، أو بسبع وعشرين درجة"
"ما من ثلاثة في قرية ولا بدو لا تقام فيهم الجماعة إلا استحوذ عليهم الشيطان، فعليك بالجماعة فإنما يأكل الذئب من الغنم القاصية"
"لا صلاة لجار المسجد إلا في المسجد"

hadith 1. " solat berjamaah itu lebih baik daripada solat bersendirian dengan 25 atau 27 kali darjat."
hadith 2. " Tidak ada tiga orang berada dalam sebuah kampung, atau pedalaman yang tidak didirikan solat di kalangan mereka, melainkan syaitan akan menguasai mereka. Maka hendaklah kamu bersama jemaah (dalam solat), kerana serigala hanya menyerang kambing yang terpencil."
hadith 3. " Tidak diterima solat orang yang berjiran (tinggal berdekatan) dengan masjid melainkan ia solat di masjid."

Justeru jika melihat kepada ketiga-tiga hadith ini menunjukkan bahawa tuntutan solat berjamaah itu adalah besar dan tuntutan tersebut jatuh kepada kaum lelaki.

Jadi bagaimana dengan kaum wanita?.

Wanita yang hadir ke masjid untuk solat berjamaah hukumnya harus bagi wanita tua (yang berumur) dan makruh hukumnya bagi pemudi² anak² dara, wanita² muda kerana dikhuatiri timbul fitnah kepada mereka. Dan lebih awla dan utama bagi kaum wanita untuk solat dirumahnya sahaja (3).

beberapa penjelasan mengikut mazhab:
mazhab hanafi: makruh bagi golongan pemudi² atau wanita muda hadir berjamaah dimasjid secara mutlak kerana dikhuatiri berlaku fitnah.

mazhab maliki: harus hukumnya jika diyakini tidak berlaku fitnah dan tidak harus jika sebaliknya.

mazhab syafie dan hanbali : makruh bagi wanita cantik yang berhias-hias dan harus bagi wanita yang tidak berhias-hias serta tidak terserlah kecantikannya dan tidak pula memakai wangi-wangian serta telah mendapat izin daripada suaminya.

kesimpulan (3): makruh ke atas wanita yang terserlah kecantikannya (seperti berhias dan sebagainya) dan harus bagi wanita tua (berumur).

Antara dalil-dalil yang mereka gunakan:
لقوله صلّى الله عليه وسلم : "لاتمنعوا النساء أن يخرجن إلى المساجد، وبيوتهن خير لهن
وفي لفظ «إذا استأذنكم نساؤكم بالليل إلى المسجد، فأذنوا لهن»أي إذا أمن المفسدة
وعن أم سلمة: أن رسول الله صلّى الله عليه وسلم قال: " خير مساجد النساء قعر بيوتهن
hadith 1: "Janganlah kamu melarang para isteri / golongan wanita keluar ke masjid, bagaimanapun rumah² mereka lebih baik bagi mereka (jika ingin menunaikan solat)." - HR Al-Jamaah kecuali Ibn Majah.

hadith 2: "Sekiranya isteri² kamu meminta izin pada waktu malam untuk keluar ke masjid, maka berilah mereka keizinan." sekiranya aman daripada perkara² yang merosakkan. - HR Ahmad dan Abu Daud.

hadith 3: "sebaik-baik masjid bagi wanita adalah di dalam rumah mereka". - HR Ahmad.

Sekiranya diperhatikan hadith di atas, sememangnya tidak ada larangan bagi kaum wanita untuk keluar solat berjamaah/dsb di masjid. Bagaimanapun Rasulullah menyatakan rumah adalah lebih utama bagi wanita untuk mengerjakan solat. Sekiranya dibimbangi berlaku fitnah maka makruh hukumnya untuk golongan wanita berjamaah di masjid. Seperti kaedah fiqh telah menyatakan :
إن درء المفاسد مقدم على جلب المصالح
Ertinya : Menolak keburukan / mudarat diutamakan dari memperolehi maslahat

Fitnah boleh sahaja terjadi dengan perbuatan lidah ataupun hati. Ke atas dirinya ataupun diri orang lain.

Justeru kesimpulannya adalah asal hukum bagi golongan wanita untuk keluar berjamaah di masjid adalah harus sekiranya diyakini tidak berlaku fitnah serta aman daripada perkara² yang boleh berlaku kerosakan atau mudharat terhadap dirinya atau orang lain. Dan sekiranya perkara² ini boleh berlaku maka hukumnya jatuh kepada makruh sahaja. Malah hukum makruhnya lebih kuat sekiranya dia datang ke masjid dengan solekan², gincu²an serta wangi²an yang mana ini boleh jadi terlihat atau terhidu oleh kaum lelaki yang bukan mahram yang berada dimasjid. Apatah lagi kalau yang datang ke masjid itu dengan aurat yang tidak sempurna.

Maka tidaklah menjadi khuatir bagi golongan wanita yang ingin berjamaah atau mendengar ceramah di masjid asal saja menjaga adab² serta mengikuti syarat² yang telah ditetapkan dan pahala ke masjid serta berjamaah di masjid tetap sahaja mereka perolehi seperti mana orang lelaki yang solat berjamaah di masjid dengan 27 kali darjat berbanding solat bersendirian di rumah.

Wallahu A'lam.
Herwan@31Jan2010

(1) mughni muhtaj 1/299, al-mahzab 1/93, al-majmu' 4/88.
(2) al-mughni 2/176, kasyaf al qina' 1/532
(3) fiqh al islami wa adillatuh

0 comments:

Post a Comment