Para pengantin ini memakai pakaian yang cantik² dihari persandingan majlis raja sehari. Apa yang dapat kita lihat di sini ialah soal pemakaian mesti dititik beratkan oleh para pengantin agar majlis yang sepatutnya diberkati tidak bertukar menjadi majlis yang dikeji. Inilah yang telah maklum seperti pakaian pengantin perempuan yang mestilah sentiasa menjaga auratnya dan tidak menjadi bahan tontonan bagi khalayak ramai khususnya bagi yang bukan mahram. Hal ini sepatutnya sudah diketahui umum mengenai pakaian wanita muslimah yang menepati syariah.
Bagi pengantin lelaki pula kebiasaanya tidak mendatangkan masalah dari sudut aurat. Tetapi menjadi kebiasaan beberapa tempat khususnya di Malaysia ini pengantin lelaki turut memakai inai ( "henna" dalam english / hanna "الحناء" dalam b.arab) seperti yang dipakai oleh orang perempuan. Cuba ikuti perbincangan ini.
1)
Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan ulama' berpendapat bahawa hukum lelaki memakai inai di kukunya sama ada kaki atau tangan adalah di antara lingkungan haram dan makruh. Ini kerana ia menyerupai perhiasaan wanita . Inai yang digunakan untuk perubatan (medication) tidaklah mengapa.
Inai di rambut lelaki adalah harus
dalilnya
روى أبو داود عن عائشة قالت: أَوْمَت امرأة من وراء ستر، بيدها كتاب، إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم، فقبض النبي يده، فقال: " ما أدري: أهذه يد رجل أم يد امرأة؟ " قالت: بل امرأة، قال: " لو كنت امرأة لغيرت أظفارك " أي بالحناء.
"Dari Aishah bahawa seorang wanita mengisyaratkan di belakang tabir bahawa dia ingin menyampaikan surat kepada baginda S.A.W. lalu baginda melihat tangan itu seraya baginda bersabda: “Aku tidak tahu sama ada ini tangan lelaki atau perempuan.” Perempuan itu menjawab: “Aku adalah seorang wanita.” Baginda bersabda: “Sekiranya kamu seorang perempuan, berbezalah dengan memakai henna (inai) dijarimu.” (hadith riwayat abu dawud)
Terdapat salah satu pendapat daripada ulama syafi'iy yang mengharamkan mewarnai jari² tangan atau kaki sama ada menggunakan pewarna atau pun inai - melainkan untuk tujuan perubatan - kerana ianya menyerupai wanita dan sangat ditegah oleh syarak sepertimana satu hadis soheh menyatakan:
لعن الله المتشبهين من الرجال بالنساء
"Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita" (manar al-qari syarh mukhtasar sahih al-Bukhari jld 5:231)2)
Imam An-nawawi Rh dalam fatwa al-majmu’ berkata lelaki diharamkan memakai inai pada tangan dan kaki kecuali pada rambut mereka. Wanita bersuami diharuskan memakai henna di tangan dan kaki mereka.
Beliau berdalilkan dengan hadis soheh:
أن النبي صلى الله عليه وسلم نهى أن يتزعفر الرجل " رواه البخاري ومسلم".
"Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang lelaki menggunakan pewarna za'faran" (HR al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menfokuskan kepada penggunaan warna za'faran dan bukan harumannya. Dan hukumnya adalah sama seperti pemakaian inai.
3)
Abu Hurairah rh meriwayatkan bahawa seorang mukhannath (khunsa) yang mewarnakan tangannya dengan henna (inai) dibawa ke hadapan rasulullah. Dikatakan kepada Rasulullah S.A.W: "Wahai Rasulullah. Lelaki ini cuba menyerupai wanita." Lalu lelaki itu dihalau dari al-baqi' (sebagai hukuman, dihantar ke tempat yang terpencil supaya dijauhi dari orang ramai). Lalu mereka bertanya kepada rasulullah S.a.w: "Kenapa dia tidak dibunuh?" Lalu baginda S.A.W bersabda: "Aku dilarang membunuh mereka yang bersembahyang." (Diriwayatkan oleh ABu Dawud, Sahih Al-Jaami', 2502)
Hadis ini pula menjelaskan bahawa hukum bagi khunsa pula adalah sama seperti kaum lelaki. Oleh itu mereka juga dilarang sepertimana orang lelaki.
Daripada ketiga-tiga hujjah dan juga dalil di atas ini menunjukkan bahawasanya kaum lelaki dilarang untuk memakai inai kerana ianya merupakan aksesori kosmetik wanita. sama juga seperti hukum lelaki memakai rantai leher dan gelang tangan atau anting-anting(subang).
Cumanya diharuskan bagi kaum lelaki untuk memakai inai ini pada rambut ataupun untuk tujuan perubatan.
عن أبي ذر رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :"ان أحسن ما غيرتم به الشيب الحناء والكتم"
-رواه الترمذى وأصحاب السنن
Daripada Abu Dzar r.a , katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mewarna uban ialah inai dan katama( sejenis tumbuhan yang mengeluarkan getah berwarna hitam. Ia boleh digunakan untuk mencelup rambut dan membuat dakwat.) (HR AtTarmidzi)Semoga tulisan yang amat ringkas ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat khususnya kepada bakal-bakal pengantin agar majlis perkahwinan itu nanti lebih dirahmati dan diberkati Allah SWT.
0 comments:
Post a Comment