Sunday, June 15, 2014

LUPA DALAM SOLAT


Memang tidak dinafikan bahawa lupa sering terjadi pada diri manusia. Dalam pandangan Islam orang yang lupa, tersilap dan dipaksa melakukan perkara dosa adalah dimaafkan.
Sebagaimana tersebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menggugurkan (dosa) daripada umatku kerana tersilap, lupa dan yang dipaksa ke atasnya.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)





LUPA DALAM SEMBAHYANG

Lupa berlaku dalam semua perkara termasuk lupa dalam sembahyang. Umpamanya terlupa melakukan syarat, rukun atau sunat sembahyang. Untuk lebih jelasnya, dihuraikan beberapa contoh-contoh lupa dalam sembahyang dan cara penyelesaiannya.

PERTAMA : LUPA DALAM SYARAT SAH SEMBAHYANG

Syarat sembahyang adalah perkara yang mesti dilakukan sebelum mengerjakan sembahyang dan ia berterusan sehingga selesai sembahyang.
Sembahyang tidak akan sah jika syarat-syarat sembahyang itu tidak ditunaikan terlebih dahulu.
Syarat sembahyang itu ada lima :
1. Iaitu mengetahui waktu sembahyang.
2. Menghadap kiblat.
3. Menutup aurat.
4. Suci daripada hadas
5. Suci daripada najis.



CONTOH LUPA DALAM SYARAT SAH SEMBAHYANG

1. Jika seseorang terlupa untuk bersuci daripada hadas kecil atau hadas besar. Kemudian teringat dan yakin yang dia tidak berwudhu atau belum mandi wajib lagi, maka sembahyang yang dikerjakannya dalam keadaan yang tidak suci itu adalah tidak sah.
Walau bagaimanapun dia mendapat pahala atas qashadnya (niatnya) , bukan mendapat pahala atas perbuatan sembahyangnya.

2. Jika dia memakai pakaian yang bernajis disebabkan lupa, sedang dia telah mengerjakan sembahyang dengan pakaian itu. Apabila teringat dan yakin yang dia memakai pakaian yang bernajis, maka tidak sah sembahyang tersebut.
Oleh yang demikian hendaklah dia mengerjakan sembahyang itu semula dengan memakai pakaian yang suci daripada najis.
3. Apabila seseorang tidak mengetahui atau tidak sedar sehingga dia meninggal dunia bahawa pakaian yang dipakainya ketika mengerjakan sembahyang itu ada najis.
Menurut fatwa al-Baghawi, Moga-moga diharapkan mendapat kemurahan daripada Allah agar kesilapannya tidak diambil kira. Ini kerana Allah menggugurkan dosa bagi orang yang tersilap, terlupa atau dipaksa yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:


4. Jika berlaku syak atau ragu-ragu pada diri seseorang itu sama ada dia telah berwudhuk ataupun tidak ketika dia bersembahyang.
Jika dia merasakan demikian, sebenarnya pada asalnya dia dalam keadaan tidak bersuci, kemudian dia ambil wudhuk, kemudian dia bersembahyang. Selesai bersembahyang, dia ragu-ragu.
Dalam hal sebegini, dia dihukumkan tidak sah sembahyangnya kerana dirujuk pada asal keadaannya. Asal keadaannya tidak berwudhuk.
5. Jika dia syak atau ragu-ragu sama ada wudhunya batal ataupun tidak ketika bersolat, maka sembahyangnya itu sah kerana dia ragu-ragu pada batalnya wudhu.
Kerana pada asalnya dia telah berwudhuk. Cuma dia hanya ragu-ragu pada wudhuknya samada masih sah atau batal.

KEDUA : LUPA DALAM RUKUN SEMBAHYANG

Rukun-rukun sembahyang itu terbahagi kepada tiga bahagian:

i. Rukun qalbi : Rukun yang bersangkut paut dengan hati iaiu niat.
ii. Rukun qaul : Rukun yang bersangkut paut dengan perkataan, seperti takbiratulihram dan membaca surah al-Fatihah.
iii. Rukun fi‘li : Rukun yang bersangkut paut dengan perbuatan, seperti berdiri, rukuk dan sujud.

LUPA YANG SERING BERLAKU
Perkara yang sering terjadi dalam sembahyang ialah lupa melakukan tertib sembahyang :
a-sama ada tertib di antara rukun
b-atau tertib di antara sunat-sunat sembahyang.

KESAN LUPA DALAM TERTIB DI ANTARA SUNAT SEMBAHYANG

Tertib di antara sunat sembahyang tidak termasuk dalam rukun sembahyang, akan tetapi hanya menjadi syarat untuk dikira sebagai sunat dan bukan menjadi syarat sah sembahyang.
PERSOALAN : MEMBACA AT-TA’AUUZ SEBELUM MEMBACA IFITITAH
Jika mendahulukan membaca at-ta‘auuz sebelum membaca iftitah, maka dalam hal ini, at-ta‘auuz itu hendaklah diulang semula selepas membaca iftitah untuk membaca surah Al-Fatihah, kerana at-ta‘auuz sebelum itu tidak dikira sebagai sunat, disebabkan ia dibaca bukan pada tempatnya.
PERSOALAN : MENDAHULUKAN MEMBACA SURAH AL-QUR’AN DARIPADA SURAH AL-FATIHAH
Surah Al-Qur’an yang dibaca tidak dikira. Perlu diulang setelah selesai membaca Fatihah, kerana membaca Surah Al-Qur’an tidak dikira sunat kerana ia dibaca bukan pada tempatnya.
Namun sembahyangnya sah jika dia tidak mengulangi bacaan surah.
Diulang hanya menjadi syarat untuk dikira sebagai sunat dan bukan menjadi syarat sah sembahyang.

KESAN LUPA TERTIB DALAM RUKUN DALAM SEMBAHYANG

Tertib di antara rukun sembahyang pula adalah termasuk rukun sembahyang.
Jika tidak dilakukan tertib itu dengan senghaja, maka sembahyang itu batal kerana mempermain-mainkannya
CONTOH :
1. Didahulukan rukun fi‘li seperti sujud sebelum rukuk atau rukuk sebelum membaca surah al-Fatihah atau mendahulukan rukun qauli iaitu memberi salam sebelum sujud, maka sembahyang itu batal kerana mempermain-mainkannya.

2. Jika didahulukan rukun qauli dengan senghaja (selain memberi salam) sebelum rukun fi‘li seperti mendahulukan membaca tasyahhud sebelum sujud.
Maka tidaklah batal sembahyangnya, akan tetapi hendaklah diulang semula bacaan yang didahulukannya itu (tasyahhud ) pada tempatnya, kerana ia dibaca bukan pada tempatnya.
3. Jika didahulukan rukun qauli sebelum rukun qauli yang lain seperti mendahulukan shalawat sebelum membaca tasyahhud.
Maka tidaklah batal sembahyangnya, akan tetapi hendaklah diulang semula bacaan yang didahulukannya itu (shalawat) kerana ia dibaca bukan pada tempatnya. Adapun tasyahhud tak perlu diulang semula.

BEBERAPA CONTOH TERLUPA MELAKUKAN RUKUN SEMBAHYANG

Jika terlupa melakukan rukun sembahyang kemudian teringat rukun yang tertinggal itu ketika dalam sembahyang ataupun sesudah selesai sembahyang.
Berikut contoh-contoh lupa melakukan tertib di antara rukun sembahyang :

1- Teringat Rukun Yang Tertinggal Sebelum Sampai Pada Rukun Yang Sama Pada Rakaat Yang Berikutnya

1.1 Apabila tertinggal rukun sembahyang, kemudian teringat ataupun datang syak atau ragu-ragu sebelum sampai pada rukun yang seumpanya pada rakaat berikutnya.
Maka hendaklah dilakukan dengan segera rukun yang tertinggal atau yang diragui itu.
Segala perbuatan dan bacaan sembahyang yang dilakukannya selepas rukun yang tertinggal atau rukun yang diragui itu, adalah tidak dikira.
Sebelum salam sunat melakukan sujud sahwi, kerana setiap perkara yang boleh membatalkan sembahyang jika dilakukan dengan senghaja adalah disunatkan sujud sahwi.
Sebagai contoh keadaan di atas, imam atau munfarid (sembahyang seorang diri) jika terlupa membaca surah al-Fatihah, kemudian teringat ketika sedang rukuk. Maka hendaklah dia berdiri semula dengan segera untuk membaca surah al-Fatihah dan rukuknya sebelum itu tidak dikira.
Jika dia tidak bangkit dengan segera setelah menyedarinya, maka batal sembahyang itu.

1.2 Imam atau munfarid yang lupa melakukan rukuk, kemudian teringat ketika sedang sujud. Maka hendaklah dia berdiri tegak semula dengan segera untuk melakukan rukuk. Manakala sujudnya sebelum itu tidak dikira.

1.3 Jika timbul syak atau ragu-ragu ketika rukuk, syak atau ragu-ragu sama ada dia telah membaca surah al-Fatihah atau tidak.
Maka hendaklah dia segera bangkit untuk membaca surah al-Fatihah.
Jika dia menunggu walau seketika untuk mengingati perkara yang disyakinya itu, maka batallah sembahyangnya.
1.4 Berbeza hukumnya jika timbul syak ketika sedang qiyam (berdiri), syak sama ada dia telah membaca surah al-Fatihah atau tidak.
Maka dalam hal ini, bolehlah dia menunggu untuk mengingati perkara yang disyakinya itu.

2. Teringat Rukun Yang Tertinggal Setelah Sampai Pada Rukun Sepertinya Di Rakaat Berikutnya

2.1 Apabila tertinggal satu rukun sembahyang, kemudian teringat ataupun timbul syak setelah sampai pada rukun yang seumpamanya pada rakaat yang berikut.
Maka memadailah rukun yang seumpanya itu menjadi ganti kepada rukun yang tertinggal atau yang diragui.
Semua perbuatan di antara rukun yang tertinggal hingga rukun yang seumpamanya dimana teringat dan timbul ragu-ragu adalah tidak dikira. Sebelum memberi salam disunatkan sujud sahwi.
Kemudian hendaklah meneruskan baki rakaat sembahyang sehingga sempurna rukun dan rakaatnya.

Sebagai contoh keadaan di atas, imam atau munfarid (sembahyang seorang diri) jika tertinggal rukuk di rakaat pertama kemudian teringat ataupun timbul ragu-ragu ketika rukuk di rakaat kedua.
Maka memadailah rukuk rakaat kedua itu sebagai ganti rukuk rakaat pertama yang tertinggal atau yang diragui itu.
Apa yang dilakukan antara rukuk rakaat pertama dan rukuk rakaat kedua adalah tidak dikira.
Kemudian lakukanlah baki sembahyang sehingga sempurna segala rukun dan rakaat sembahyang itu.

3. Teringat Rukun Yang Tertinggal Sebelum Sampai Pada Rukun Yang Seumpamanya Pada Rakaat yang Berikutnya

3.1 Apabila tertinggal rukun sembahyang, kemudian teringat ataupun terjadi syak sebelum sampai pada rukun yang seumpamanya pada rakaat berikutnya, maka hendaklah dilakukan dengan segera rukun yang tertinggal atau yang disyaki itu.
Apa yang dilakukannya selepas rukun yang tertinggal atau yang diragui adalah tidak dikira.
Sebelum salam sunat melakukan sujud sahwi, kerana setiap perkara yang boleh membatalkan sembahyang jika dilakukan dengan senghaja adalah disunatkan sujud sahwi.

Contoh pertama keadaan di atas, imam atau munfarid (sembahyang seorang diri) yang terlupa membaca surah al-Fatihah, kemudian teringat ketika sedang rukuk. Maka hendaklah dia berdiri semula dengan segera untuk membaca surah al-Fatihah dan rukuknya sebelum itu tidak dikira.
Jika dia tidak bangkit dengan segera setelah menyedarinya, maka batal sembahyang itu.

Contoh kedua keadaan di atas, imam atau munfarid yang lupa melakukan rukuk, kemudian teringat ketika sedang sujud. Maka hendaklah dia berdiri tegak semula dengan segera untuk melakukan rukuk. Manakala sujudnya sebelum itu tidak dikira.

3.2 Jika timbul ragu-ragu ketika rukuk, ragu-ragu sama ada dia sudah membaca surah al-Fatihah atau tidak.
Maka hendaklah dia segera bangkit untuk membaca surah al-Fatihah.
Jika dia menunggu walau seketika untuk mengingati perkara yang diragui , maka batallah sembahyangnya.
3.3 Berbeza hukumnya jika timbul ragu-ragu ketika sedang qiyam (berdiri), ragu-ragu sama ada dia sudah membaca surah al-Fatihah atau tidak. Maka dalam keadaan ini, bolehlah dia menunggu untuk mengingati perkara yang disyakinya itu.


4. Teringat Rukun Yang Tertinggal Sesudah Memberi Salam

4.1 Jika teringat rukun yang tertinggal sesudah memberi salam, maka dalam keadaan ini.
Hendaklah dilihat kadar panjang atau pendeknya masa di antara sesudah memberi salam dan waktu teringat.
Hendaklah dilihat juga jenis rukun yang tertinggal itu, sama ada ia niat dan takbiratulihram atau rukun selain keduanya.
4.2 Jika yang tertinggal itu niat dan takbiratulihram, maka hendaklah diulang semula daripada awal sembahyang itu.

4.3 Jika rukun yang tertinggal itu bukan daripada niat dan takbiratulihram, serta jangka masa di antara salam dan ingat itu pendek, dan dia tidak terkena najis serta tidak banyak berkata-kata, maka lakukanlah baki rukun yang tertinggal itu tanpa mengulang semula sembahyang.
Contoh di atas terdapat dalam sebuah hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:


Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah sembahyang bersama kami sama ada sembahyang zohor atau asar. (Pada rakaat kedua) Baginda memberi salam. Berkata Zulyadain kepada Baginda: “Apakah sembahyang dikurangkan wahai Rasulullah?”
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada sahabat-sahabat Baginda: “Adakah benar apa yang dikatakannya itu?”
Mereka berkata: “Ya!” Maka Baginda menyambung sembahyang dua rakaat yang lain kemudian sujud dua kali (sujud sahwi).”
(Hadis riwayat al-Bukhari)

KADAR MASA PENDEK DAN PANJANG

a- Kadar jangka masa panjang dan pendek itu adalah mengikut ‘uruf.
Diukur kadar masa pendek itu seperti kadar yang dinukil daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melalui teguran Zulyadain.
Dalam teguran Zulyadain itu menggambarkan Baginda bangkit dan pergi ke suatu penjuru masjid, lalu ditanya oleh Zulyadain dan pertanyaan Baginda kepada sahabat serta jawapan mereka.
Sementara kadar masa panjang pula ialah apa yang melebihi daripada kadar masa yang digambarkan dalam khabar Zulyadain tersebut.
b- Menurut al-Buwaithi dan Abu Ishaq, bahawa kadar jangka masa panjang itu ialah apa yang melebihi kadar masa serakaat.
c- Menurut Abu Hurairah, bahawa kadar jangka masa panjang itu ialah kadar sembahyang yang sedang dilakukan sama ada dua, tiga atau empat rakaat.

5. Makmum Terlupa Rukun Sembahyang

5.1 Apabila makmum teringat atau ragu-ragu meninggalkan surah al-Fatihah sebelum dia melakukan rukuk dan selepas imam telah rukuk.
Maka hendaklah makmum membaca surah al-Fatihah itu dahulu kemudian bersegera mengikuti imamnya.
Dalam hal ini makmum itu dimaafkan terkebelakang daripada imamnya sebanyak tiga rukun yang panjang.

5.2 Jika makmum itu teringat atau ragu-ragu meninggalkan surah al-Fatihah selepas dia dan imam melakukan rukuk.
Maka janganlah makmum kembali berdiri untuk membaca surah al-Fatihah. Akan tetapi hendaklah dia mengikuti imamnya dan menambah serakaat selepas imam memberi salam.

5.3 Jika makmum itu teringat atau ragu-ragu meninggalkan rukun sembahyang selain surah al-Fatihah.
Maka janganlah dilakukan yang tertinggal itu, bahkan hendaklah dia mengikuti imamnya dan menambah serakaat selepas imam memberi salam.

5.4 Jika makmum teringat meninggalkan niat dan takbiratulihram, maka batal sembahyangnya.
5.5 Jika makmum timbul ragu-ragu meninggalkan niat dan takbiratulihram, dan berlarutan ragu-ragunya sehingga berlalu satu rukun, maka batal sembahyangnya.


6. Hukum Sujud Sahwi Makmum Yang Terlupa Rukun Sembahyang

6.1 Tidak disunatkan sujud sahwi jika makmum terlupa sesuatu rukun yang ditinggalkannya ketika mengikuti imam.
Ini kerana imam yang suci daripada hadas menanggung kekurangan makmum.
6.2 Berbeza pula hukumnya, jika makmum terlupa sesuatu rukun selepas salam imam, maka pada ketika itu imam tidak lagi menanggung makmumnya kerana sudah terputus qudwah (ikutan) itu.

6.3 Apabila terjadi pada makmum timbul ragu-ragu dan berterusan ragu-ragunya sehingga selesai mengikuti imam.
Maka disunatkan bagi makmum melakukan sujud sahwi selepas disempurnakannya rukun yang diraguinya itu.
Ini kerana imam tidak lagi menanggung ragu-ragunya, bahkan dia sendiri yang menanggungnya.

7. Peranan Makmum Apabila Imam Terlupa Rukun Sembahyang

7.1 Apabila imam terlupa melakukan perbuatan rukun sembahyang, maka sunat bagi makmum lelaki mengingati imam dengan bertasbih seperti katanya: atau seumpamanya dengan suara yang jahr (nyaring).
7.2 Bagi makmum perempuan, disunatkan menepuk tangannya dengan menepuk permukaan tapak tangan kanan dengan belakang tapak tangan kiri atau sebaliknya.
Menurut ulama Syafi‘eyah, jangan menepuk tangan dengan kedua-dua batin tapak tangan (bertepuk tangan), jika dilakukan demikian dengan niat bermain-main, maka batal sembahyangnya.

7.3 Jika imam teringat ada rukun yang tertinggal setelah makmum mengingatinya. Maka hendaklah imam itu melakukan rukun tersebut.
Akan tetapi jika imam itu yakin pada dirinya tidak menambah atau mengurangi rukun sembahyang, maka hendaklah dia beramal dengan keyakinan dirinya tanpa mengikut teguran makmumnya walaupun bilangan makmum itu ramai.
Ini disebabkan imam itu yakin pada dirinya tidak ada rukun yang tertinggal setelah makmum mengingatinya
7.4 Apabila imam meninggalkan dengan senghaja atau lupa untuk melakukan perbuatan rukun sembahyang seperti imam lupa sujud kemudian dia terus berdiri dan tidak kembali kepada yang terlupa itu (sujud).
Maka tidak boleh makmum itu mengikuti imamnya, akan tetapi hendaklah makmum berniat mufaraqah (berpisah daripada mengikuti imam) dan makmum menyempurnakan sembahyangnya itu dengan sembahyang seorang diri.
Ini disebabkan jika makmum yakin pada diri imam ada rukun yang tertinggal setelah imam dingatkan.

8. Lupa Atau Syak Bilangan Rakaat

8.1 Jika seseorang yang ragu-ragu pada bilangan rakaat, ketika dalam sembahyang, umpamanya adakah dia telah melakukan tiga atau empat rakaat?
Maka dalam keadaan ini hendaklah dia mengambil bilangan rakaat yang sedikit. Kemudian melakukan baki sembahyang lalu sujud sahwi sebelum salam.

8.2 Jika teringat pada rakaat yang diraguinya itu sebelum masuk pada rakaat yang lain, maka tidak disunatkan sujud sahwi.
Contoh : Jika dirakaat ketiga timbul ragu-ragu pada dirinya sama ada dia telah melakukan tiga atau empat rakaat.
Kemudian ia teringat dalam rakaat ketiga itu bahawa dia telah melakukan tiga rakaat, maka dalam keadaan ini tidaklah disunatkan sujud sahwi.
Akan tetapi jika dia teringat sesudah sampai melakukan rakaat keempat, maka hendaklah dia melakukan sujud sahwi sebelum salam.

8.3 Jika timbul ragu-ragu selepas memberi salam, sama ada ragu-ragu pada bilangan rakaat sembahyang ataupun rukun yang lainnya, maka ragu-ragu itu tidak memberi kesan apa-apa terhadapnya.

9. Lupa Pada Sunat Sembahyang

Sunat-sunat sembahyang itu terbahagi kepada dua:

1. Sunat ab‘ad. Iaitu perkara sunat yang perlu ditampung dengan sujud sahwi apabila ditinggalkan.
2. Sunat hai’at. Iaitu perkara sunat yang tidakperluditampung dengan sujud sahwi apabila ditinggalkan.



SUNAT AB’AD

Sunat-sunat ab‘ad itu terdiri daripada:

1. Tasyahhud awal dan duduknya.
2. Qunut subuh dan qunut witir, dan berdirinya.
3. Shalawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika tasyahhud awal.
4. Shalawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika qunut.
5. Shalawat ke atas keluarga Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika tasyahhud akhir.
6. Shalawat ke atas keluarga Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika qunut.

SUNAT HAI’AT

Sunat-sunat hai’at adalah selain perkara sunat yang disebutkan di atas, antaranya seperti berikut:

1. Mengangkat kedua belah tangan ketika takbiratulihram, ketika hendak rukuk, ketika bangkit daripada rukuk dan ketika bangkit daripada tasyahhud awal.
2. Membaca doa iftitah.
3. Membaca at-ta‘auuz sebelum surah al-Fatihah.
4. Membaca ayat atau surah daripada al-Qur’an selepas al-Fatihah pada dua rakaat permulaan.
5. Melafazkan takbir ketika takbir intiqalat (takbir perpindahan daripada satu rukun ke satu rukun yang lain.
6. Membaca tasbih ketika rukuk dan sujud.

KESAN TERLUPA SUNAT HA’AT DAN AB’AD

Apabila seseorang terlupa untuk melakukan sunat-sunat sembahyang, apakah yang perlu dilakukan jika menghadapi keadaan ini? Berikut adalah beberapa contoh lupa sunat sembahyang dan cara penyelesaiannya :

1. Lupa Melakukan Sunat Hai’at

1.1 Jika perkara-perkara sunat hai’at ditinggalkan dengan senghaja atau tertinggal dengan sebab lupa.
Maka sembahyang itu tidak batal, malah tidak disunatkan sujud sahwi.
Jika dilakukan juga sujud sahwi itu, sedangkan dia tahu perbuatan itu salah serta melakukannya dengan senghaja, maka batal sembahyangnya.
1.2 Lain pula hukumnya, jika dia tidak mengetahui perkara itu salah atau dilakukannya kerana terlupa, maka tidak batal sembahyang tersebut

2. Lupa Melakukan Sunat Ab‘ad

2.1 Apabila terlupa atau senghaja meninggalkan sunat ab‘ad walau tertinggal lebih daripada satu, maka sunat dilakukan sujud sahwi sebelum memberi salam.

Contoh : Jika tertinggal tasyahhud awal, walaupun hanya sebahagian daripada tasyahhud awal itu seperti tertinggal huruf dalam ayat , maka disunatkan sujud sahwi sebelum memberi salam.

2.2 Demikian juga qunut subuh atau qunut witir (tidak termasuk qunut nazilah). Jika tertinggal walau hanya satu huruf seperti tertinggal huruf dalam ayat , maka disunatkan sujud sahwi.

3. Teringat Sebelum Sampai Pada Rukun Sembahyang

3.1 Adapun jika teringat sunat ab‘ad yang tertinggal itu sebelum intishab (kadar atau had berdiri yang memadai untuk membaca al-Fatihah), atau sebelum sempurna sujud (iaitu sebelum meletakkan kesemua tujuh anggota sujud).
Maka sunat kembali untuk melakukan sunat ab‘ad yang tertinggal itu.


Contoh :Jika seseorang terlupa melakukan tasyahhud awal kemudian dia bangkit untuk berdiri, lalu teringat sebelum intishab (kadar atau had berdiri yang memadai untuk membaca al-Fatihah), maka sunat baginya kembali untuk melakukan tasyahhud awal.
Jika bangkitnya itu lebih hampir kepada berdiri berbanding dengan duduk, maka sunat dilakukan sujud sahwi kerana dia melakukan perbuatan yang bukan dalam susunan sembahyang.
Adapun jika bangkitnya itu lebih hampir kepada duduk berbanding dengan berdiri ataupun sama kedudukannya, maka tidak disunatkan sujud sahwi..

3.2 Demikian juga hukumnya, jika seseorang teringgal qunut, dia teringat ketika menuju melakukan sujud, teringat sebelum sampai melakukan sujud dengan sempurna.
Maka sunat kembali untuk melakukan qunut yang tertinggal.
Jika perbuatannya menuju kepada sujud itu sampai kepada sekurang-kurang had rukuk (bongkok badan sehingga kedua tapak tangan sampai kepada lutut), maka sunat baginya melakukan sujud sahwi kerana dia telah menambah satu rukuk.

4. Teringat Setelah Sampai Pada Rukun Sembahyang

4.1 Apabila teringat sunat ab‘ad yang tertinggal setelah intishab (kadar atau had berdiri yang memadai untuk membaca al-Fatihah) atau sujud.
Maka tidak boleh kembali pada melakukan sunat ab‘ad tersebut.
Jika dia kembali pada melakukannya sedangkan dia tahu perbuatan itu salah ataupun senghaja melakukannya, maka batal sembahyangnya itu. Di akhir rakaat pula, sunat sujud sahwi sebelum memberi salam.

Contoh : Jika seseorang lupa melakukan tasyahhud awal kemudian teringat setelah dia sampai intishab (berdiri tegak).
Maka tidak boleh lagi dia kembali pada melakukan tasyahhud awal.
Jika dia kembali pada melakukan tasyahhud itu, maka batal sembahyangnya.
4.2 Lain hukumnya, jika dia kembali pada tasyahhud tersebut dengan sebab lupa atau tidak mengetahui akan kesalahan perbuatan itu, maka tidak batal sembahyangnya.

4.3 Demikian samahukumnya dalam keadaan terlupa membaca qunut. Apabila teringat selepas sempurna sujud, maka tidak boleh lagi kembali pada melakukan qunut tersebut.

5. Syak Pada Meninggalkan Sunat Ab‘ad

5.1 Jika seseorang ragu-ragu pada meninggalkan sunat ab‘ad.
Maka sunat sujud sahwi sebelum memberi salam, kerana pada asalnya dia tidak melakukan sunat ab‘ad.

Contoh : Jika timbul ragu-ragu pada seseorang, adakah dia telah membaca qunut ataupun tidak, atau adakah dia telah melakukan tasyahhud awal ataupun tidak, maka sunat baginya sujud sahwi.

6. Peranan Makmum Apabila Imam Terlupa Sunat Ab‘ad

6.1 Apabila imam tertinggal sunat ab‘ad kemudian teringat sebelum intishab atau sujud, lalu imam kembali melakukan yang tertinggal itu.
Maka wajib makmum mengikutinya walaupun makmum itu sudah intishab atau sujud.
Jika makmum tidak kembali untuk mengikuti imamnya, maka batal sembahyangnya jika dia tidak berniat mufaraqah.
Contoh : Jika imam tertinggal tasyahhud awal kemudian teringat sebelum imam intishab (berdiri tegak), lalu imam kembali duduk untuk melakukan tasyahhud tersebut.
Maka makmum wajib mengikuti imam walaupun makmum tersebut sudah sampai pada intishab.

Contoh : Adapun jika imam tertinggal tasyahhud awal, kemudian teringat setelah imam intishab, lalu imam kembali pada melakukuan tasyahhud tersebut.
Maka makmum tidak boleh mengikuti imamnya itu. Ini kerana jika imam itu salah ataupun senghaja kembali pada melakukan tasyahhud awal.
Maka sembahyang imam itu batal dan makmum tidak boleh mengikuti imam yang batal sembahyangnya.
Maka dalam hal ini ada dua cara yang boleh dilakukan oleh makmum.
Pertama : Hendaklah makmum itu mufaraqah (berpisah daripada mengikuti imam).
Kedua : Atau hendaklah makmum menunggu imamnya dengan sangkaan imam itu kembali kepada tasyahhud awal disebabkan terlupa.

6.2 Jika dalam keadaan imam kembali pada tasyahhud awal setelah imam intishab, lalu makmum pun mengikuti imamnya kembali pada tasyahhud tersebut.
Maka batal sembahyang makmum itu.
6.3 Lain hukumnya, jika makmum itu terlupa ataupun tidak tahu perbuatan itu salah, maka tidak batal sembahyangnya.

6.4 Jika makmum yang terlupa melakukan tasyahhud awal lalu makmum itu berdiri intishab sedangkan imam duduk melakukan tasyahhud awal, maka makmum wajib kembali untuk mengikuti imamnya.

CARA MENGERJAKAN SUJUD SAHWI
1. Sujud sahwi hukumnya sunat :
a- apabila meninggalkan perkara yang disuruh dalam sembahyang.
b- ataupun membuat perkara yang dilarang sama ada ketika sembahyang fardhu ataupun sembahyang sunat melainkan ketika sembahyang jenazah.

2. Cara melakukan sujud sahwi itu ialah dengan dua kali sujud dan sekali duduk antara dua sujud tersebut.
3. Sujud sahwi itu dilakukan sebelum memberi salam. Segala yang diwajibkan dan disunatkan dalam sujud sahwi itu serupa dengan sujud dan duduk antara dua sujud di dalam sembahyang.
4. Hanya ada pendapat ini sahaja yang mengatakan zikir yang dibaca dalam kedua-dua sujud sahwi ialah .
Ini kerana zikir tersebut lebih sesuai dengan keadaannya iaitu lupa.

5. Wajib berniat sujud sahwi, dengan mengqasadkan (meniatkan ) dalam hati sujud sahwi beriringan ketika hendak melakukan sujud tanpa melafazkan niat tersebut. Jika dilafazkan niat itu maka batal sembahyang.

KESIMPULAN

Dengan penjelasan mengenai isu-isu lupa dalam sembahyang dan cara menyelesaikannya, mudah-mudahan akan menambahkan maklumat kita tentang sembahyang dan seterusnya sembahyang kita akan dilakukan dengan lebih sempurna.

RUJUKAN
1. I’anatut Tholibin Karangan Al-Allamah Abu Bakar Othman Addimyathi Al-Bakri
2. Irsyad Hukum keluaran Jabatan Mufti Brunei

(fekahsyariah.blogspot.com)

0 comments:

Post a Comment