Oleh: Ustaz Bahtiar Hud, Pegawai Jabatan Kemuftian Negeri Sabah.
Soalan :
Saya ingin melaksanakan Ibadah Haji atau Umrah dengan niat mendapat
Haji yang mabrur atau Umrah maqbulah, tetapi di sana ada beberapa
perkara yang menghalang terhasilnya matlamat saya diantaranya ketika
bertawaf saya sering terbatal kerana sering bersentuhan dengan orang
yang dikira batal ketika bersentuhan dengannya sebagaimana yang di
fahami dalam mazhab Syafie, maka dalam hal ini saya ingin bertalfiq
dalam mazhab Hanafi atau Maliki, tolong ajarkan saya dalam perkara ini?
Jawaban :
بسم الله الرحمٰن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Segala puji bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian
alam, solawat dan salam keatas junjungan kita Muhammad dan ahli keluarga
beliau serta para sahabat sekalian.
1. Allah SWT berfirman :
يُرِيدُ اللّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. (Al Baqarah : 185)
Jelas di dalam ayat di atas Allah SWT tidak membebankan akan hambanya
dalam soal-soal ibadah dan ini diantara asas dalil dalam perkara-perkara
yang berkaitan ibadah bahkan Rasulullah SAW pernah bersabda :
بُعِثْتُ بِاالحَنِيْفِيَّةِ السَّمْحَةِ
Maksudnya : Aku telah diutus dengan membawa agama yang benar dan penuh
toleransi. ( dikeluarkan oleh Imam Ahmad Ahmad dalam Musnadnya).
Di dalam hadith lain juga Rasulullah SAW bersabda :
إِنَّ هَذَا الدِّيْنَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّيْنَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ
Maksudnya : Sebenarnya agama ini mudah, tak seorang pun yang
mempersulit agama ini, melainkan sudah pasti dia akan mengalami
kekalahan dan kesukaran (dalam melaksanakannya). (HR Imam Al Bukhari
dalam kitab Al Iman).
Namun kemudahan ataupun rukhsah yang
diberikan di dalam agama perlulah ditafsilkan dan mengikut
syarat-syaratnya agar tidak terkeliru di dalam melaksanakan ibadah
sebagaimana istilah talfiq yang dipakai oleh sebahagian umat Islam dalam
melaksanakan sesuatu ibadah.
Talfiq menurut Dr.Muhammad Rawwas Al
Qal’aji di dalam kitabnya Mu’jam Lughat Al Fuqaha’ ialah “Perlaksanaan
dengan satu amalan yang dihimpunkan padanya daripada pelbagai mazhab,
sehingga tidak boleh diiktibarkan amalan ini sebagai sesuatu yang sah
dalam mana-mana daripada mazhab-mazhab.”
Dr. Wahbah Az Zuhaili
ada menyatakan di dalam Kitabnya Al Rukhashu As Syari’yyah Ahkamuha
dhowaabithuha, halaman 65, bahawa Ulama-ulama Syafi’eyyah setengahnya
melarang semua bentuk gambaran talfiq, setengahnya pula hanya melarang
bentuk talfiq yang ditegah sahaja dan yang lain pula mengharuskan talfiq
apabila dihimpunkan dalam satu masalah syarat-syarat mazahib yang
diikuti.
Di antara contoh talfiq yang menyebabkan satu amalan
dikira rosak ialah seorang yang berwudhu’ mengikut mazhab Syafi’e dengan
mengusap kepala kurang dari ¼ kepala (sebagaimana yang diwajibkan dalam
mazhab hanafi), kemudian ia menyentuh kulit wanita ajnabiyyah ( kerana
menyentuh kulit wanita ajnabiyyah dalam mazhab hanafi tidak membatalkan
wudhu’) dan terus solat mengikut cara mazhab Syafi’e, maka percampuran
dua mazhab dalam hal mengambil wudhu’ rukun ikut cara Syafi’e manakala
perkara-perkara yang membatalkan wudhu’ mengikut mazhab hanafi yang
akhirnya kedua-dua mazhab itu tidak mengakui penggabungan kedua pendapat
ini bahkan amalan itu adalah tidak sah menurut kedua-dua mazhab.
Di dalam kitab I’anah ath Tholibin,jilid 1, halaman 17, menyatakan :
ويمتنع التلفيق في مسألة كأن قلد مالكا في طهارة الكلب والشافعي في بعض الرأس في صلاة واحدة.
Ertinya : Dan dilarang talfiq dalam satu masalah, seperti mengikut
pandangan Imam Malik dalam perkara sucinya anjing (iaitu tidak dikira
najis mughallazhah (berat) apabila disentuh) dan mengikut Imam Syafi’e
dalam harusnya mengusap sebahagian kepala (sedangkan mazhab maliki
mewajibkan menyapu air pada seluruh kepala) untuk mengerjakan satu
solat.
Dalam mazhab Syafi’e solat di atas tidak sah kerana
masih belum bersuci dari najis berat sedangkan dalam mazhab Maliki pula
tidak sah wudhu’ kerana menyapu air hanya pada sebahagian kepala sahaja,
maka dengan sebab itulah talfiq tidak dibenarkan oleh kebanyakan ulama
Syafi’eyyah.
Sekiranya ingin menukar mazhab dalam satu masalah maka
hendaklah mengikut keseluruhan syarat-syaratnya sebagaimana masalah yang
dipertanyakan iaitu jika berwudhu’ dan ingin mengelakkan kesulitan
terutama ketika sedang tawaf dalam perkara bersentuhan kulit diantara
lelaki dan wanita ajnabiyyah yang menurut Imam Syafi’e adalah
membatalkan wudhu’.
Sekiranya ingin bertaqlid atau bertukar
kepada mazhab Hanafi atau Maliki yang apabila menyentuh atau disentuh
tidaklah menjadi batal, hendaklah mengikut syarat-syarat mazhab yang
diikuti sebagaimana di dalam mazhab hanafi yang tidak mensyaratkan
apa-apa sehingga dalam hal niat dan tertib adalah tidak wajib melainkan
menyapu ¼ kepala bagi mereka adalah wajib, manakala dalam mazhab Maliki
hendaklah menambah lagi rukun yang tiada dalam mazhab Syafi’e iaitu
menggosok anggota wudhu’ dan perlunya muwalat (iaitu berturut-turut
tanpa berselang ketika berwudhu’) dan menyapu seluruh bahagian kepala
dan perlu diingati persentuhan dalam mazhab Maliki tidak batal dengan
syarat tidak disertai syahwat ketika menyentuh.
Namun di dalam
mazhab Syafie terdapat pendapat kedua yang berpendapat bagi mereka yang
disentuh bukan menyentuh tidaklah terbatal wudhu’nya sebagaimana yang
dinyatakan oleh Al Imam An Nawawi dalam Kitabnya Raudhah At Tolibin,
jilid 1, halaman 186 ;
وإن لمس ميتة , أو عجوزا لا تشتهي , أو عضوا
أشل , أو زائدا , أو لمس بغير شهوة , أو عن غير قصد انتقض على الصحيح في
جميع ذلك , وينتقض وضوء الملموس على الأظهر
0 comments:
Post a Comment