Pada 7 April yang lepas Allah telah mengizinkan saya ke Rumah Anak Yatim (RAY) Tambunan beserta dengan rombongan dari Madrasah Tahfiz Darul Yatama Membakut. Rasanya agak lama juga tidak ke Tambunan ni. Kalau dahulu sebelum jalan Kimanis belum dibuka, memang jalan Tambunan lah yang dilalui sebagai penghubung jalan dari Keningau ke Kota Kinabalu. Terakhir ke Tambunan ini kalau tidak silap pada tahun 2010 kerana ada jemputan majlis perkahwinan anak ustaz Hadiq Ismail.
Ini merupakan kali pertama saya ke RAY Tambunan. Begitu juga rasanya ahli rombongan yang lain. Hj Ghullam, pengasas Darul Yatama juga turut serta dalam rombongan ini. Tujuan kami datang ke sini ialah untuk memperkenalkan Madrasah Darul Yatama itu sendiri dengan harapan sekiranya terdapat anak-anak yatim yang berminat bolehlah melanjutkan pengajian ke Madrasah tahfiz kami. Dijemput juga untuk hadir pada taklimat ialah wakil daripada tenaga pengajar dan waris atau penjaga para pelajar yang tinggal berhampiran. Tapi yang kelihatan pada ketika itu hanya para pelajar dan beberapa wakil tenaga pengajar yang hadir pada taklimat tersebut. Terima kasih kepada ustaz Saifuddin yang menyambut kami setibanya kami pada jam 10 pagi di RAY.
Taklimat berjalan dengan lancar. Diharap audien yang mendengar faham dengan apa yang disampaikan. Ditambah pula dengan bantuan LCD projektor mungkin mereka boleh melihat dengan lebih jelas situasi Darul Yatama dengan sajian gambar-gambar yang telah disediakan.
Hampir dua jam berada di RAY Tambunan, sambil bertukar-tukar maklumat, banyak juga input yang diperolehi dari sini. Antaranya, RAY Tambunan ini telah beroperasi sejak 1983. Agak lama juga sudah tu. Ramai sudah bekas pelajar mereka yang berjaya hingga ke universiti dan ada yang bekerja sebagai pegawai di jabatan kerajaan dan swasta. Pada awal penubuhan rumah ini, terdapat juga anak-anak yang baru lahir dihantar ke sini lalu dipelihara sehingga besar. Selain itu terdapat juga beberapa muallaf yang baru memeluk Islam dan ada juga yang belum memeluk Islam diterima di rumah ini sebagai menjaga kebajikan anak-anak kecil terutama mereka yang yatim dan ada juga yang ditinggalkan oleh ibu atau bapa mereka.
Seusai di RAY Tambunan, kami sebenarnya telah bercadang untuk menziarah Maahad Al-Kauthar yang ditubuhkan oleh Ust Hadiq Ismail. Secara peribadi saya amat kagum dengan semangat ustaz Hadiq mendirikan maahad ini walaupun dana yang diperolehi kebanyakannya dari orang ramai dan para dermawan yang budiman. Semasa kami sampai di sana, ustaz Hadiq dan para pelajarnya sedang bergotong royong menyiapkan surau yang telah separuh siap. Semoga Allah terus memberi kekuatan kepada beliau untuk meneruskan perjuangan menyebarkan dakwah Islam di bumi Tambunan khusunya dan Sabah amnya. Mungkin di sini kami dapat mengambil iktibar betapa sekolah yang dibina dengan hasil usaha tangan para guru dan pelajar akan mampu menjadikan seorang insan yang mukhlas hatinya sama ada menyampaikan ilmu dan juga menerima ilmu di maahad ini. Disamping itu pengetahuan dan kemahiran luar murid boleh diterapkan serta semangat kerjasama akan menimbulkan perasaan mahabbah, tolong menolong antara satu sama lain.
Ini adalah antara coretan yang sempat difikirkan buat masa ini. Pengalaman berada dikedua-dua tempat ini sangat berharga serta secara tidak langsung kita dapat bermuhasabah kerana di sana terdapat lagi mereka yang begitu komited dalam perjuangan menyebarkan dakwah islam serta mereka-mereka yang mengasihi anak yatim sehingga ia menjadi orang yang berjaya dan berguna pada masyarakat. Semoga Allah memberi diri ini hidayah dan quwah bagi meneruskan dakwah nabi SAW di muka bumi ini.
Abu Imtiaz @ 09042012
0 comments:
Post a Comment