Sunday, March 4, 2012

TABLET: PENILAIAN DAN PANDUAN


Tablet merupakan gajet IT yang sedang meningkat popular pada masa kini, di mana anda boleh lihat ramai lapisan golongan masyarakat yang semakin menggilai peralatan-peralatan moden dan dapat memenuhi keperluan seharian mereka. Hal ini sangat ketara kerana bila sahaja diumumkan satu-satu produk baru yang akan dikeluarkan oleh sesebuah syarikat, maka orang ramai akan berpusu-pusu ke kedai-kedai untuk mendapatkan produk baru tersebut seolah-olah tidak mahu ketinggalan kepada teknologi yang semakin berkembang pesat.  Ini telah dibuktikan sebagai contoh apabila sebuah syarikat komunikasi yang terkenal, Apple Inc. memperkenalkan tab mereka iPad dan telah terjual sebanyak 3 juta unit hanya dalam 80 hari dan sepanjang tempoh tahun 2010 mereka telah berjaya menjual sebanyak 14.8 juta unit iPad di seluruh dunia. Manakala Mac 2011 yang lalu mereka telah memperkenalkan tab terbaru mereka yang telah mengalami beberapa penambahbaikan dan pembaharuan iaitu iPad 2 telah terjual sebanyak 15 juta unit sepanjang tempoh bulan tesebut.


Lihatlah bagaimana senario tersebut telah menyaksikan bahawa masyarakat dunia semakin terkehadapan dan tidak mahu ketinggalan terhadap arus teknologi maklumat yang serba moden. Tetapi sebenarnya apa yang mereka harapkan apabila memiliki alat tersebut? Adakah ia akan menjadi satu trend bagi menggantikan komputer riba?



Apakah sebenarnya tablet?

Tablet atau nama sebenarnya ialah Komputer Tablet merupakan sebuah komputer mudah  alih, lebih besar daripada telefon bimbit atau PDA (personal digital assistant) yang diintegrasikan dengan permukaan skrin sentuh[1]. Penggunaannya amat meluas pada ketika ini memandangkan telah banyak syarikat-syarikat pengeluar komputer dan komunikasi berlumba-lumba untuk menghasilkan produk tablet mereka.



Apa yang ada dalam tablet?

Ciri-ciri dalam sesebuah tablet itu pelbagai mengikut citarasa pengeluar. Walaubagaimana pun terdapat beberapa ciri yang semestinya ada dalam sesebuah tablet yang menjadi suatu pilihan utama kepada pelanggan. Ini kerana pelanggan amat berharap sebuah tablet mempunyai fungsi yang memenuhi kehendak mereka. Kalau boleh All in one. Semua fungsi itu terdapat dalam sebuah tablet tersebut. Antara ciri-ciri yang menjadi perhatian pelanggan ialah:
  • kamera (depan/belakang atau belakang sahaja)
  • capaian wifi
  • capaian 3G atau 4G 
  • sistem operasi sama ada android / windows / iOS
  • ketebalan
  • aplikasi
  • ketahanan bateri
  • kelajuan
  • saiz skrin
  • aksesori
  • boleh menerima dan membuat panggilan telefon


Sesuaikah saya memiliki tablet?

Ini tertakluk kepada penggunaan dan keperluan anda. Sekiranya anda seorang yang gemar travelling dan memerlukan capaian internet untuk melakukan kerja-kerja anda, maka anda layak untuk memiliki sebuah tablet. Begitu juga bila anda selalu mempunyai tugasan-tugasan luar yang tidak boleh ada mengangkat seberat-beratnya komputer peribadi atau pun laptop yang menyakitkan bahu anda, maka tablet mungkin suatu jawapan meringankan beban anda untuk membawanya. Ataupun anda seorang yang gemar mendengar muzik, bermain game, berchat, berblog, berfacebook atau tweeter, semuanya ada dalam sebuah tablet.

Antara tablet dan laptop, mana patut saya beli?

Sekiranya anda bercirikan seperti persoalan di atas maka anda patut membeli tablet. Tetapi sekiranya tidak, malah anda banyak melakukan kerja-kerja menaip yang banyak, mengedit gambar-gambar dalam word misalnya, membuat kertas soalan yang perlu diselitkan beberapa gambar rajah, seorang yang amat multitasking iaitu terlalu banyak membuka aplikasi dalam satu-satu masa. Maka anda perlu membeli sebuah laptop untuk membuat semua itu. Pada pendapat saya tablet belum mampu untuk mengganti kerja-kerja yang ada dalam laptop 100%. Tablet hanya untuk kerja-kerja yang ringan dan berinternet.

Optimumkan penggunaan!

Terserahlah jika anda ingin memiliki tablet hanya untuk berfacebook atau bermain game itu pilihan anda dan wang anda. Bagi saya amat rugi membeli sebuah alat yang begitu mahal tapi amat terhad jenis penggunaannya. Sekarang ini pelbagai aplikasi yang boleh didapati bagi mengoptimumkan penggunaan tablet anda. Sebenarnya anda boleh membaca Al-Quran dengannya, melihat kompas dan menentukan arah kiblat, panduan GPS, memanfaatkan kalendar yang boleh diselaraskan dengan google, waktu-waktu solat dan pelbagai lagi.

Penutup

Setiap perkara itu ada kebaikan dan keburukannya, maka gunakanlah alat ini dengan sebaik-baiknya serta elakkan daripada menggunakannya dengan perkara yang tidak baik. Teknologi canggih jika dimanfaatkan sepenuhnya dengan baik, hasilnya juga akan baik dan akan beroleh ganjaran pahala sekiranya digunakan untuk Islam. Sebaliknya jika penggunaan yang tidak baik serta membawa kepada keburukan maka tidak akan terlepas seseorang itu apa sahaja yang dilakukannya melainkan padanya ada dua malaikat yang selalu memerhati.

Wallahu a'lam.

Abu Imtiaz
04032012

0 comments:

Post a Comment