Wednesday, August 17, 2016

ILMU TAJWID: ILTIQĀ'U AL-SĀKINAIN [Pertemuan Dua Sukun]


ILTIQĀ'U AL-SĀKINAIN
التقاء الساكنين

Tajuk ini merupakan pelajaran minggu lepas yang belum sempat saya kongsikan dan merupakan kesinambungan kepada tajuk hamzah wasal.

Saya akan memberikan penerangan berpandukan peta minda yang dilakar.

Iltiqaussakinain atau pun maksudnya pertemuan dua sukun boleh dibahagikan kepada 3 bahagian yang terdapat di dalam al-Quran.

1. Tanwin bertemu hamzah wasal.
Pada bahagian ini disebutkan juga sebagai nun iwad.

Seperti sedia maklum, bacaan tanwin adalah sama dengan sebutan nun mati.

(Saya seringkali mengingatkan kepada pelajar atau murid bahawa tanwin dan nun mati walau berbeza pada tulisan tetapi mereka sama pada sebutan. Kerana itu mereka disekalikan dalam hukum nun sakinah dan tanwin.)
Cuba baca:
اَنْ اِنْ اُنْ              اً اٍ اٌ
Bacaannya tetap an-in-un

Baik. Kembali kepada tanwin bertemu hamzah wasal. Sebagaimana yang telah maklum hamzah wasal tidak berbaris dan huruf selepasnya akan bertanda sukun atau syaddah. (Pada asasnya syaddah juga adalah gabungan huruf yang sama bertanda mati dan berbaris).

Pada keadaan ini, sebutan nun mati pada tanwin hendaklah dihidupkan dengan berbaris bawah sebagaimana contoh yang diberikan. Kerana itu bahagian ini dinamakan sebagai 'nun iwad' iaitu nun pengganti/penyambung. Ia juga mempunyai nama lain seperti nun wasal dan nun wiqāyah.
Contoh lain.

خَيراً الْوَصِيَّةُ - khoironil wasiyatu
يَوْمَئِذٍ الْحَقُّ - yawma'idzinil haqqu
نُوحٌ ابْنَهُ - nuhunib nahu

2. Pertemuan 2 sukun pada awal surah Āli Imrān. (Ayat 1 dan 2)

Cara baca yang dibolehkan ada tiga wajah.

a. Bacaan Wasal 1 -
• ألِفْ
• لآم
(Mad lazim harfi muthaqqal 6 harakat dengan idgham mithlain)
• مِيمَ
(2 harakat seperti mad asli dan mim akhir berbaris atas.)

b. Bacaan wasal 2 -
• ألِفْ
• لآم
(Mad lazim harfi muthaqqal 6 harakat dengan idgham mithlain)
• مِيمَ
(6 harakat seperti mad lazim harfi mukhaffaf dan mim akhir berbaris atas.)

c. Bacaan waqaf - bacaan seperti biasa.

3. Sukun pertama yang telah sedia dibariskan di dalam mushaf.

Bahagian ini agak senang. Sukun yang pertama telah pun sedia dibariskan di dalam mushaf mengikut kesesuaiannya. Untuk mengenalpasti lebih lanjut bahagian ini, seseorang itu mesti tahu bahasa arab

Sekian. Maaf segala kekurangan. Mohon juga tunjuk ajar daripada tuan-tuan guru pakar al-Quran.

والله أعلم

Wednesday, August 3, 2016

Ilmu Tajwid: Hamzah Wasal


Peta minda saya malam ini untuk kelas tajwid di Masjid Ulu Mawao Membakut
Bab ini membincangkan bacaan hamzah wasal yang pada permulaan bacaan. Hamzal wasal boleh dikenal pasti pada perkataan alif yang bertanda kepala sod.

Cara membaca hamzah wasal pada permulaan bacaan boleh dibahagikan kepada 3 bahagian:
1. Hamzah wasal pada alif lam sama ada alif lam qamariyah atau alif lam syamsiyah.
Pada ketika ini cara bacaan hamzah wasal sentiasa berbaris atas. Contoh pada perkataan
الحمد لله
الرحمن
القارعة

2. Bacaan hamzah wasal berpandukan baris pada huruf ketiga.
Dalam hal ini, ia terdapat dalam 3 keadaan.

a. Apabila huruf ketiga berbaris atas maka hamzah wasal di baca kasrah.
Contoh: اقْتَرَبَ

b. Apabila huruf ketiga berbaris bawah maka hamzah wasal di baca kasrah.
Contoh: اهْدِنَا

c. Apabila hamzah wasal berbaris depan maka hamzah wasal di baca dhommah.
Contoh: ادْعُوا

3. Bacaan hamzah wasal tidak berpandukan baris huruf ketiga.
Bahagian ini agak sukar kerana kita tidak dapat menentukan bacaan hamzah wasal seperti kaedah yang kedua. Oleh itu kalimah-kalimah dalam bahagian ini hendaklah dihafal kerana ia terkeluar dari kaedah yang sebelumnya.

Bahagian ini dibahagikan kepada 3. Iaitu Isim (kata nama), Fi'il (kata kerja) dan ibdal. Boleh lihat contoh peta minda yang telah dilakar.

Untuk bahagian isim dan fi'il, bacaan hamzah wasalnya sentiasa kasrah.

Manakala ibdal seperti contoh yang diberikan, walau terdapat beberapa kalimah saya cuma fokus kepada 1 kalimah yang terdapat dalam surah al-ahqaf ayat 4 kerana ia berada selepas waqaf. Bacaan bagi kalimah ائْتُونِي ketika wasal adalah seperti biasa. Akan tetapi sekiranya permulaan bacaan pada kalimah ini, bacaan hamzah wasal hendaklah dikasrahkan dan hamzah kedua diibdalkan kepada huruf ya. Jadilah bacaannya ايتونى (iituunii).

Kaedah yang boleh dipakai ialah dengan melihat rumah hamzah pada huruf kedua. Sekiranya hamzah berumah ya, maka ibdal ke huruf ya. Terdapat kalimah yang hamzah berumah huruf wau seperti dalam surah al-baqarah ayat 283 اؤْتُمِنَ . Sekiranya bacaan dimulakan dengan kalimah ini maka hamzal wasalnya hendaklah dibaca dhommah dan hamzah kedua ibdal huruf wau (uutumina).

Wallahu a'lam.