Tuesday, June 28, 2011

Harap Belum Terlewat Menyumbang Sesuatu.

Alhamdulillah...hari ini Allah SWT telah mengurniakan kekuatan untuk melaksanakan tugas sebagai hamba Allah terhadap hambaNya yang lain untuk julung kalinya dalam diri ini. Dua tugasan hari ini yang telah dirancang ialah melawat saudara baru di Kg. Tahak Membakut bersama-sama dengan beberapa orang ustaz sekitar pekan ini dan ahli masjid yang telah kami 'tabalkan' sebagai pegawai perhubungan.

Petang, selepas solat Asar di Masjid Pekan Membakut kami semuanya berkumpul. Ustaz Ahmad, Ustaz Said, Ustaz Rosli, Ustaz Norazmi, En. Daud, En. Ismail dan saya sendiri bersiap sedia untuk bertolak ke Kg. Tahak yang jauhnya lebih kurang 7 - 13km dari pekan. Awalnya perancangan ini telah pun dimaklumkan kepada ADO Membakut, Tn. Hj Sanuddin merangkap Pengerusi Masjid Pekan Membakut. Dia sudah bagi 'green light' untuk kami bergerak dan saya sebenarnya mengharap kalau beliau juga dapat turut serta dalam rombongan ini. Tetapi dalam beberapa hari ini rupanya beliau 'out station'. Beliau ini jemaah tetap di masjid.

Walaubagaimana pun rombongan yang sudah siap sedia akan meneruskan perjalanan seperti yang dirancang dan dijanjikan. Dalam pemikiran kami saudara-saudara baru di Kg. Tahak itu juga sedang menunggu kedatangan kami. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Tn. Hj. Nurlah, beliau telah menginfaqkan 10 kampit beras 5kg, beberapa kampit gula, air kotak dan biskut untuk kami agihkan kepada golongan saudara baru itu nanti. Semoga Allah melipat gandakan pahala beliau serta mendapat rahmat dan inayah daripada Allah SWT.

Sampai tempat yang dituju, rupanya hanya sebuah keluarga sahaja yang berada di rumah tersebut. Sangkaan kami untuk bertemu beberapa keluarga saudara baru di kawasan tersebut meleset. Akan tetapi perbincangan masih juga tetap diteruskan. Pada awalnya tentatif kami, ingin mengadakan sedikit tazkirah, taaruf serta dialog kepada mereka. Terpaksa semuanya itu di'postpone' dulu. Kami akhirnya mencadangkan agar tuan rumah tersebut dapat mengumpul beberapa keluarga Islam di kawasan tersebut dan berjumpa pada minggu hadapan. Beliau kami jadikan wakil pengurusan saudara baru di Kg. Tahak dan Dungau supaya akan datang senang berurusan dan lebih sistematik. Beliau setuju. Alhamdulillah.

Maka, barang-barang yang kami bawa tadi tu pun ditangguhkan juga lah penyerahannya sehingga dapat berjumpa, kalau boleh, sebahagian besar penduduk muslim di kawasan itu. Dianggarkan lebih 10 buah rumah yang diduduki itu, keluarganya beragama Islam (saudara baru). Itu pun termasuk dengan keluarga campur. Kerana ada sebahagian keluarga mereka yang masih lagi beragama Kristien.

Kami balik dengan perancangan lain pula. Allah lah penentu segala perancangan.

Malamnya, ada jemputan ceramah Israk dan Mikraj di Masjid Kg. Brunei. Majlisnya bermula selepas solat Maghrib sehingga Isyak. Jemputan ini pun rasanya terlalu singkat pasal baru kelmarin selepas solat Subuh dijemput. Lebih kurang sehari lebih untuk buat persediaan. Mulanya terfikir ingin menolak. Tahun lepas pernah menolak jemputan ceramah yang sama tapi di lain tempat. Tidak kurang seminit akhirnya saya bersetuju. Rasanya ingin mencuba dan untuk kesekian kali bagi diri ini....bila lagi. Jujur dikatakan inilah pengalaman pertama memberi ceramah. Sebelum ini saya hanya memberi tazkirah atau kuliah maghrib di masjid pekan membakut. Sedar tak sedar 2 tahun juga sudah memberi kuliah di masjid tersebut. Tapi jamaah yang mendengarnya tidak lah seramai malam ini. Bila bagi kuliah maghrib tu hanya beberapa jemaah masjid yang tetap sahaja mendengar. Biasanya tidak sampai 10 orang. Namun saya teruskan juga lah berapa yang ada. Its Ok itu lah latihan saya.

Cerita mengenai Israk dan Mikraj ini semua orang pun sudah tahu. Tinggal lagi hendak mengaitkan dengan isu semasa sahaja lagi yang menjadi cabaran saya untuk menyampaikannya. Alhamdulillah. 45minit itu awalnya terasa lama juga, tapi bila tengok jam sekali lagi sudah tinggal 2-3 minit. Padahal baru cerita separuh jalan. 

Saya 'shortcut' kan.

Memang awal-awal saya sebut kalau 'full version' tidak cukup konon cerita 1 malam. Jadi cerita 'cut version' lah. Padahal mau cerita penuh pun rasanya tidak sanggup tu. Mengacah juga lah sikit-sikit. 

Habis masa ceramah, jadi imam solat Isyak kemudian jamuan dan berbual-bual dengan jamaah.
Terima kasih Tuan pengerusi Masjid Kg. Brunei dan AJK-AJKnya atas jemputan.
Terima kasih juga kepada En. Mohd. Fadhil kerana menemani perjalanan ke masjid tersebut.

Allah........aku ini teramat dhaif di hadapanMU. Tersangat kurang di dada ilmu. Aku harap, belum terlambat untuk menyumbang sesuatu. RedhaMu sahaja harapanku selalu. Rahmatilah daku.

Abu Imtiaz @ 28062011
27 Rajab 1432H.

0 comments:

Post a Comment